Pages

Thursday 13 February 2014

Waktu adalah umur

"Dan waktumu adalah umurmu, dan umurmu adalah modal hidupmu dan dengan waktumu itulah engkau mulai berniaga untuk akhirat yang akan menghantarkanmu kepada kebahagiaan yang abadi di dalam kedekatan dengan Allah. Maka setiap nafas dari seluruh nafas adalah mutiara yang tidak terhitung nilainya, dan apabila telah berlalu nafas itu, maka tidak ada gantinya."

~ Risalah al-Muawwanah - Al-Imam Al-Habib Abdullah bin `Alawi Al-Haddad

Sunday 12 January 2014

Apabila Allah Mencintai Kamu.....

““Dan setiap umat ada kiblatnya yang ia menghadap kepadanya”, apabila Allah mencintai dan meredhai kamu, Dia akan menghadapkan arah kamu kepadaNya. Dia tidak membiarkan kamu terleka dengan sesuatu yang mendatangi kamu, seperti dengan dunia serta isi-isinya. Allah berfirman mari kesisiKu. Allah selamatkan kamu daripada kebahayaan dan bala bencana seluruhnya. Apabila Allah tidak redha terhadap kamu, apabila Dia tidak mencintai kamu, apabila Dia tidak ingin terhadap kamu, Dia akan menjadikan hati kamu menghadap kearah selainNya. Dia akan timpakan terhadap kamu menghadap pergi kearah perbuatan ini atau kearah perbuatan itu. Berlalunya hidupmu dengan sia-sia. Kemudian di penghujungnya barulah kamu sedari bahawa kamu bukan berada dalam tujuan hidup yang sebenar. Kamu berjalan bukan dijalan yang lurus. Hanyalah yang kamu rasai selepas itu adalah penyesalan. Kamu menyesal kiri dan kanan. “dia mengatakan:”alangkah baiknya kiranya aku dahulu mengerjakan amal soleh untuk hidupku ini”.” Dan kamu telah pun ketahui bahawa kehidupan yang hakiki itu kamu akan temui selepaskehidupan sekarang ini. Kamu tidak boleh berbuat apa pada kehidupan dunia yang telah lalu. “Alangkah baiknya kiranya aku dahulu mengerjakan amal soleh untuk hidupku ini”. Semoga Allah mengurniakan kami dan juga kamu keberkatan umur, serta dikurniakan keikhlasan dalam beribadah kepadaNya.”

~ Al-Habib Umar bin Hafidz

Tuesday 22 October 2013

Syair....

Syair ini telah membuatkan al-Imam Ahmad Bin Hanbal (r.a.) menangis apabila mendengar dua bait pertama dari syair ini. Al-Imam Ahmad bin Hanbal (r.a.) telah ditanya muridnya, Abu Hamid al-Khulqani tentang pendapat beliau terhadap syair-syair yang berkaitan syurga dan neraka. Lalu beliau bertanya ”Seperti apa? Contohnya?” lalu muridnya mendendangkan syair ini. Selesai dua rangkap pertama Imam Ahmad terus menangis teresak-esak dan meluru masuk ke dalam rumahnya. Tangisan beliau begitu kuat sambil mengulang-ulang dua rangkap pertama itu. Muridnya meriwayatkan: “kami mendengar tangisan Imam seolah-olah beliau akan mati.” Moga ianya memberi kesedaran dan keinsafan kepada kita. AllahuRabbi…

Jika Tuhan bertanya pada ku…
“Tidak malukah kau bermaksiat kepadaKu?
Kau sembunyikan dosamu dari makhlukKu
Dan datang kepadaKu dengan penuh dosa.”

Bagaimanakah akan ku jawab duhai diriku yang malang?
Dan siapalah yang dapat menyelamatkan aku?

Aku terus menyogok jiwaku dengan impian
Dan harapan dari masa ke semasa
Dan aku melupakan apa yang bakal dihadapi selepas mati
Dan apa yang berlaku selepas aku dikafankan
Seolah-olah aku ini dijamin untuk hidup selamanya…

Seakan mati tidak akan menemuiku

Dan telah datang padaku sakaratul maut yang ngeri
Nah…! Siapa sekarang yang mampu melindungku?

Aku melihat pada wajah-wajah…
Apakah ada daripada mereka yang akan menebusku?

Aku disoal,
“Apa yang telah aku lakukan di dunia untuk menyelamatkan diri ini?”

Maka bagaimana akan aku jawab?
Setelah aku mengabaikan urusan agamaku?

Celaka aku! Apakah aku tidak mendengar
Ayat-ayat Allah yang menyeruku?
Adakah aku tidak mendengar apa yang telah diberitakan didalam surah Qaaf dan Yaasin?
Adakah aku tidak mendengar tentang hari dikumpulkan manusia, hari perhimpunan dan hari-hari ad-Deen (qiyamah)?
Adakah aku tidak mendengar panggilan ajal maut, Menyeru dan menjemputku?

Maka yaRabb! Seorang hambaMu datang bertaubat,
Siapa yang dapat melindunginya?

Melainkan Tuhan yang maha luas pengampunanNya
Dan yang membimbingku pada kebenaran…

Aku telah datang padaMu,
Maka kasihanilah daku dan beratkanlah timbangan kebaikanku
Dan ringankanlah (percepatkanlah) hisabku
Kerana Engkaulah yang terbaik dalam penghisaban…



Credit: Mujahid Nordin, Abdul Basith, HADRAH ZIKIR

Tuesday 8 October 2013

Doa.......

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Pujian yang memenuhi nikamat-nikmatNya dan sejajar dengan kurnia tambahanNya. Wahai Tuhan kami, bagiMu lah segala pujian sebagaimana selayaknya bagi keagungan zatMu dan kebesaran kekuasaanMu. YaAllah, cucurilah kesejahteraan ke atas junjungan kami Baginda Nabi Muhammad s.a.w dan ke atas ahli keluarga Baginda dan sahabat-sahabatnya sekalian.

YaAllah, dengan berkat surat Yaasin, dan berkat al-Quran yang penuh hikmah, dan dengan berkat orang yang Engkau pilih membawa risalah kenabian, kewalian dan membawa hidayah ke jalanMu yang lurus, dan dengan berkat segala yang dibawa oleh Jibril daripadaMu, kitab yang diturunkan oleh Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Penyayang, dan dengan berkat khasiat huruf-huruf dan nama-nama yang sempurna, dan dengan apa yang Engkau zahirkan dalam kewujudan ini bagi segala yang ada, yang berupa keterangan-keterangan yang nyata.

Dengan kehalusanMu, kelembutanMu yang meleraikan setiap yang gundah gulana, yang membebaskan setiap yang terpenjara.

Wahai Tuhan yang mengalirkan lautan dan mata air, wahai Tuhan yang khazanahNya di antara huruf kaf dan nun (kun) dan yang mengetahui apa yang telah ada sebelum terjadi akan ia. Kami pohonkan kepadaMu yaAllah agar Engkau lorongkan kepada kami habuan dari restuMu. Jadikanlah kami orang yang layak dan tempat untuk menerima kebahagiaan dan kekayaan yang Engkau kurniakan. Engkau mudahkanlah bagi kami untuk memperolehi segala hajat dan permintaan kami. Dan Engkau jadikanlah setiap kami di kalangan hamba-hambaMu pada setiap keadaan sebagai orang yang menang dan berjaya, dan janganlah Engkau jadikan kami berhajat kepada sesiapa pun dari kalangan makhlukMu dalam soal rezeki kami. Engkau ikatkanlah lidah-lidah orang mempertuturkan tentang keburukkan kami. Engkau iringkanlah segala pergerakkan kami dengan mendapat taufiqMu. Jadikanlah keredhaanMu kepada kami sebaik-baik teman dan pendamping bagi kami. Anugerahkanlah kami dengan sifat kemuliaan dan kehebatan, dan kurniakan kepada kami dengan perkenan yang segera.

YaAllah, sahutilah doa kami, jadikanlah harapan kami terhadapMu menjadi kenyataan dan masukkan kami ke dalam benteng anugerahMu yang kukuh, dengan rahsia firmanMu: “Sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia menghendaki hanyalah dengan Dia berfirman kepadanya, jadilah, maka jadilah”.

Maha Suci Tuhan yang ditanganNya kekuasaan segala sesuatu, dan kepadaNya kamu dikembalikan.

Maha Suci Tuhan yang melepaskan setiap yang terbelenggu hutang,

Maha Suci Tuhan yang melepaskan setiap yang menanggung kesusahan,

Maha Suci Tuhan yang urusanNya di antara huruf “Kaf” dan “Nun”.

Maha Suci Tuhan yang apabila Dia menghendaki sesuatu memadai hanya dengan Dia mengatakan kepadanya; “jadi” lalu jadilah.

Wahai Tuhan melepaskan dukacita, lepaskanlah.

Wahai Tuhan melepaskan dukacita, lepaskanlah.

Wahai Tuhan melepaskan dukacita, lepaskanlah daripada kami dukacita, kesusahan dan masalah kami.

Wahai Tuhan yang Maha hidup dan berdiri dengan sendiri.

Semoga Allah mencucuri kesejahteraan ke atas junjungan kami Baginda Nabi Muhammad s.a.w., para ahli keluarganya dan sahabat-sahabatnya sekalian.

Dan segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.