Pages

Saturday 16 June 2012

Iktibar Dari Perang Tabuk


 بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

 اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ علَى أَشْرَفِ الأَنْبِياَءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ سَيِّدِنَا مُحَمَّد وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ


Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 38:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ ۚ أَرَضِيتُم بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ ﴿٣٨﴾

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanyalah sedikit berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.

Kini kita berada dihujung bulan Rejab, satu bulan yang mencatatkan beberapa peristiwa besar seperti isra’ mikraj dan peperangan Tabuk (9H) serta penawanan semula bumi Palestine oleh Yahudi laknatullah pada 15 mei 1948 (6 Rejab 1367 H) dengan penubuhan negara haram israel selepas Palestine pernah dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayyubi pada 27 Rejab 583 H (2 Oktober 1187 M). Peristiwa ini bukanlah untuk tatapan dan ratapan sahaja, namun apa yang lebih penting adalah mengambil mutiara pengajaran dan iktibar dari peristiwa ini dalam menegakkan dan meninggikan kalimah Allah di atas muka bum. Kita harus memahami akan dua konsep dalam kemenangan dan kekalahan iaitu سُنَّةُ النَّصْر ketentuan kemenangan dan ketentuan kekalahan iaitu سُنَّةُ الهَزِيْمَة. Musuh islam tetap akan diberi kemenangan jika mereka mencukupi syarat kemenangan manakala umat islam pula tetap akan kalah jika memenuhi syarat kekalahan walaupun perjuangan Islam adalah benar. Sayyidina Ali pernah mengingatkan kita: “Kebenaran yang bergerak tanpa organisasi dan perancangan yang tersusun bakal dikalahkan oleh kebatilan yang bergerak dengan cara tersusun”.

Wajib untuk kita sentiasa bersedia dengan aqidah yang kukuh dan mantap dengan mendalami ilmu agama setiap masa dalam berdepan dengan musuh-musuh islam. Hati juga perlu di bersihkan dengan menjauhi sifat mazmumah dan melakukan sifat-sifat mahmudah sehingga hubungan kita dengan Allah menjadi semakin dekat dan seterusnya menghampirkan diri kita dengan janji kemenangan di dunia dan di akhirat. Al-Imam al-Ghazali berkata: “Suburkanlah hatimu dengan tiga perkara iaitu ketika membaca al-Quran, ketika solat, dan ketika engkau mengingati mati. Jika pada tiga tempat itu kamu tidak menemui hatimu, maka pohonlah kepada ALLAH hati yang baru kerana sesungguhnya kamu ketika itu tidak memiliki hati”.


Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 41:
انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَ‌ٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿٤١﴾

Maksudnya: Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

Perang tabuk adalah hasil dari tindakan tegas Baginda Rasulullah S.A.W. dalam mempertahankan kehormatan diri dan nyawa umat islam. Ianya susulan dari pembunuhan Farwah bin `Amru al-Jazami yang merupakan salah seorang ketua yang dilantik Rom bagi kawasan Ma’an dimana beliau telah dibunuh dengan direbus di dalam kawah air panas apabila Rom mengetahui dia telah memeluk Islam. Sebelum ke Tabuk, Rasulullah S.A.W. terpaksa berhadapan dengan beberapa golongan iaitu golongan yang menangis kerana tiada kelengkapan untuk turut sama ke sana, golongan yang meminta keuzuran daripada turut serta dalam peperangan dengan alasan yang tidak diterima oleh Allah S.W.T., dan golongan munafiq yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai.

Alasan-alasan ini mengingatkan kita kepada apa yang telah digariskan oleh Imam al-Ghazali tentang empat perkara yang menghalang mukmin untuk melakukan ibadat dan berjuang pada jalan Allah iaitu dunia, makhluk, nafsu dan syaitan. Dunia merujuk kepada semua perkara yang akan di tinggalkan setelah seseorang itu mati. Dunia akan menguntungkan manusia sekiranya ia digunakan sesuai pada jalan yang diredhai Allah sedang ianya akan mengundang kecelakaan sekiranya ianya dilalaikan. Makluk pula merujuk kepada halangan dalam bentuk makhluk kurniaan Allah seperti anak pinak, ternakan dan harta benda yang mungkin akan melalaikan manusia dari mengingati Allah jika gagal di uruskan dengan betul. Nafsu pula akan sentiasa mengajak manusia untuk melakukan kejahatan (kecuali nafsu yang diberi Rahmat oleh Allah S.W.T.), sehinggakan manusia tewas kepadanya dan nafsu ini sukar dikekang andai ianya tidak dilawan dengan bersungguh-sungguh. Manusia yang tertewas kepada hawa nafsu akan menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan sebagaimana yang difirmankan Allah dalam surah al-Jatsiah ayat 23, maksudnya: “Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya Tuhan yang dipatuhinya dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar) dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?”. Desakan syaitan dan iblis pula akan sentiasa membohongi manusia kejalan yang sesat sehingga hari kiamat. Syeikh Ibrahim Adham berkata: “Ramai manusia yang hatinya mati yang menyebabkan walaupun mereka tahu bahawa syaitan itu adalah musuh namun ia tetap dijadikan teman rapat dalam menyesatkan kehidupan mereka”.

Allah dalam surah at-Taubah ayat 55:
فَلَا تُعْجِبْكَ أَمْوَ‌ٰلُهُمْ وَلَآ أَوْلَـٰدُهُمْ ۚ إِنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيُعَذِّبَهُم بِهَا فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَتَزْهَقَ أَنفُسُهُمْ وَهُمْ كَـٰفِرُونَ
﴿٥٥﴾

Maksudnya: Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka berkeadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula).
               
Perang tabuk menyaksikan secara jelas helah golongan munafiq yang merupakan musuh dalam selimut kepada umat islam. Golongan munafiq ini akan ada di sepanjang zaman yang seharusnya seseorang islam itu menjauhi sifat-sifat seorang munafiq seperti janji yang tidak ditepati, berdusta, dan khianat terhadap amanah. Setelah berakhirnya perang tabuk, Allah memerintahkan Rasulullah S.A.W. untuk meruntuhkan masjid yang dibina oleh golongan munafiq ini yang dikenali dengan masjid Dhirar. Hal ini kerana ianya dibina atas dasar untuk bermegah-megah dan memecah belahkan umat islam. Perang tabuk juga berakhir dengan tiada seorangpun tentera islam yang terkorban.

Firman Allah, surah at-Taubah ayat 107:
وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِّمَنْ حَارَبَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ مِن قَبْلُ ۚ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلَّا الْحُسْنَىٰ ۖ وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ ﴿١٠٧﴾

Maksudnya: Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam) dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata: Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.


Wallahua’lam….
Suntingan dari khutbah jumaat, 15/06/2012.
Al-faqir: hamba yang Esa


No comments:

Post a Comment