Pages

Thursday 20 December 2012

MUNAJAT AMIR AL-MUKMININ `ALI KARRAMALLAHU WAJHAH


Tuhanku, seandainya bukan kerana kebodohanku terhadap urusan diriku, tentu aku tidak akan mengadu kesalahanku kepadaMu. Seandainya bukan kerana mengenang dosa-dosaku, tentu air mataku tidak akan mengalir.

Tuhanku, hapuskanlah segala kesalahan yang melekat pada diriku dengan linangan air mataku ini. Hapuskanlah kejahatanku yang amat banyak dengan amal-amal kebajikanku yang sangat sedikit.
Tuhanku, dosa-dosaku telah menyebabkan aku tidak dapat mengajukan hujah dan memberi alasan. Aku mengakui setiap kesalahan dan kejahatanku. Aku ditawan dengan dosa-dosaku, diriku tergadai dengan perbuatan-perbuatanku sendiri.

Tuhanku, seandainya amalan taatku terlalu sedikit, maka pengharapanku atas limpah RahmatMu amatlah besar.

Tuhanku, apabila dosa-dosaku membuatkan aku berasa resah dan gelisah kerana tidak dapat merasai kelembutanMu yang Maha Indah, maka keyakinanku keatas kemuliaan belas kasihanMu telah menyenangkan hatiku.

Tuhanku, andai kata Engkau tidak memberi petunjuk kepadaku untuk mendapat nikmat islam, maka tidak mungkin aku mendapatkannya. Tuhanku, andai Engkau tidak melancarkan lidahku untuk berdoa kepadaMu, maka tidak mungkin aku berdoa kepadaMu, andai kata Engkau tidak kenalkan aku dengan kemanisan nikmatMu, maka sudah pasti aku tidak mengenalnya. Andai kata aku tidak menyedari keperitan balasan azabMu, maka tidak mungkin aku memohon perlindungan kepadaMu.

Tuhanku, Engkau telah menunjukkan kepadaku agar memohon syurga sebelum aku mengenalinya, lalu diriku terdorong untuk memohon syurga setelah mengetahui tentangnya. Bagaimana pula Engkau menunjukkan kepada perkara baik seperti itu kemudian Engkau menghalangnya daripadaku. Sedangkan Engkau Maha Mulia dan Maha Terpuji atas segala yang Engkau lakukan, wahai Zat yang Maha Agung lagi Maha Mulia.
BagiMu segala pujian atas segala perkara yang Engkau amanahkan, bagiMu kesyukuran atas segala perkara yang Engkau cubakan, wahai Zat yang terbaik dan termulia untuk diminta, wahai Zat yang terbaik dan termulia untuk diharap, wahai Tuhan yang penuh kasih dan besar pemberianNya, wahai Tuhan yang Maha Agung dan Maha Mulia, wahai Tuhan yang Maha Hidup dan Mentadbir dengan sendirinya, wahai Tuhan yang memiliki segala makhluk dan urusan. Maha Mulia Engkau wahai sebaik-baik Pencipta, wahai yang Maha Penyantun, wahai yang Maha Kuasa, wahai yang Maha Mulia. Restuilah Nabi Muhammad s.a.w. dan seluruh keluarga Baginda yang teramat baik.

~ Rintihan kalbu