Tuhanku,
seandainya bukan kerana kebodohanku terhadap urusan diriku, tentu aku tidak
akan mengadu kesalahanku kepadaMu. Seandainya bukan kerana mengenang
dosa-dosaku, tentu air mataku tidak akan mengalir.
Tuhanku, hapuskanlah segala
kesalahan yang melekat pada diriku dengan linangan air mataku ini. Hapuskanlah kejahatanku
yang amat banyak dengan amal-amal kebajikanku yang sangat sedikit.
Tuhanku, dosa-dosaku telah
menyebabkan aku tidak dapat mengajukan hujah dan memberi alasan. Aku mengakui
setiap kesalahan dan kejahatanku. Aku ditawan dengan dosa-dosaku, diriku
tergadai dengan perbuatan-perbuatanku sendiri.
Tuhanku, seandainya amalan taatku
terlalu sedikit, maka pengharapanku atas limpah RahmatMu amatlah besar.
Tuhanku, apabila dosa-dosaku
membuatkan aku berasa resah dan gelisah kerana tidak dapat merasai kelembutanMu
yang Maha Indah, maka keyakinanku keatas kemuliaan belas kasihanMu telah
menyenangkan hatiku.
Tuhanku, andai kata Engkau tidak
memberi petunjuk kepadaku untuk mendapat nikmat islam, maka tidak mungkin aku
mendapatkannya. Tuhanku, andai Engkau tidak melancarkan lidahku untuk berdoa
kepadaMu, maka tidak mungkin aku berdoa kepadaMu, andai kata Engkau tidak
kenalkan aku dengan kemanisan nikmatMu, maka sudah pasti aku tidak mengenalnya.
Andai kata aku tidak menyedari keperitan balasan azabMu, maka tidak mungkin aku
memohon perlindungan kepadaMu.
Tuhanku, Engkau telah menunjukkan
kepadaku agar memohon syurga sebelum aku mengenalinya, lalu diriku terdorong
untuk memohon syurga setelah mengetahui tentangnya. Bagaimana pula Engkau
menunjukkan kepada perkara baik seperti itu kemudian Engkau menghalangnya
daripadaku. Sedangkan Engkau Maha Mulia dan Maha Terpuji atas segala yang
Engkau lakukan, wahai Zat yang Maha Agung lagi Maha Mulia.
BagiMu segala pujian atas segala
perkara yang Engkau amanahkan, bagiMu kesyukuran atas segala perkara yang
Engkau cubakan, wahai Zat yang terbaik dan termulia untuk diminta, wahai Zat
yang terbaik dan termulia untuk diharap, wahai Tuhan yang penuh kasih dan besar
pemberianNya, wahai Tuhan yang Maha Agung dan Maha Mulia, wahai Tuhan yang Maha
Hidup dan Mentadbir dengan sendirinya, wahai Tuhan yang memiliki segala makhluk
dan urusan. Maha Mulia Engkau wahai sebaik-baik Pencipta, wahai yang Maha
Penyantun, wahai yang Maha Kuasa, wahai yang Maha Mulia. Restuilah Nabi
Muhammad s.a.w. dan seluruh keluarga Baginda yang teramat baik.
~ Rintihan kalbu
No comments:
Post a Comment