Pages

Wednesday 9 May 2012

Cinta Itu Dari Satu Perkenalan.....


Segala puji bagi ALLAH, yang telah menjadikan kita untuk beribadat kepadaNya. Ibn Abbas telah menjelaskan firman ALLAH S.W.T.: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”, berkata Ibrahim bin Adham R.A.: “Kasih sayang itu merupakan hasil dari sebuah perkenalan”, sesiapa yang kenal ALLAH maka dia akan mencintaiNya, sesiapa yang mencintai ALLAH, dia akan mencintai Rasulnya yakni Nabi Muhammad S.A.W., dan sesiapa yang kenal Rasulullah pasti dia akan mencintainya. Kita pernah mendengar sebuah ungkapan yang menarik yang menyatakan bahawa tidak wajar hubungan kita dengan Rasulullah S.A.W. hanya sekadar melakukan amalan dan cukup setakat itu sahaja. Tetapi sepatutnya hubungan tersebut sepatutnya membuahkan cinta kepada Rasulullah S.A.W. dan cinta itu akan terus hidup mekar di dalam hati kita dan pasti dia akan hidup di dalam hati kita.
Rasulullah S.A.W. adalah seorang Nabi yang datang kepada kita sebagai seorang manusia, namun Rasulullah bukanlah seperti insan biasa. Baginda telah mengajar kita cara bagaimana memandang kepada sebuah kehidupan dengan pandangan yang mempunyai makna, bukan pandangan yang sebaliknya. Perbezaan antara kedua-dua pandangan itu adalah, pandangan yang tidak bermakna itu ialah seseorang yang melihat dirinya dan semata-mata tertumpu untuk memenuhi kepuasan nafsu dirinya. Manakala pandangan yang mempunyai makna ialah yang melihat kepada kehidupan mengikut pandangan yang telah dibawa oleh Baginda Rasulullah S.A.W., di mana ia bertujuan untuk mengembalikan semula kekhalifahan di atas muka bumi ini kepada manusia seperti yang termaktub di dalam Al-Quran: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Pandangan tersebut itu merangkumi kepada haiwan, benda-benda tidak bernyawa dan juga tumbuhan. Justeru itu, pandangan itu bukan hanya melibatkan pandangan kepada manusia sahaja, akan tetapi merangkumi semua.
Nabi S.A.W. memandang kepada gunung yang terdiri dari batu dan tanah itu dengan suatu pandangan yang membangkitkan perasaan cinta. Sabdanya: “Uhud adalah bukit yang mencintai kita dan kita juga mencintainya”. Pandangan yang ditunjukkan oleh Nabi S.A.W. kepada yang tidak bernyawa itu menyebabkannya bergerak dan cenderung kepada Baginda S.A.W. Dalam satu peristiwa, bukit Uhud bergegar ketika Rasulullah S.A.W. mendekati bukit tersebut lantas Baginda bersabda: “Tetaplah kamu wahai Uhud, Sesungguhnya yang berada di atas kamu ini adalah seorang Nabi, Abu Bakr As-Siddiq dan dua orang saksi”. Pandangan yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi S.A.W. kepada benda-benda yang tidak bernyawa itu menyebabkan ia datang kepada Nabi S.A.W. dan menerimanya. Sebuah kisah pelepah tamar yang tidak bernyawa, Nabi S.A.W. sering memegang pelepah tamar ketika membaca khutbah pada hari jumaat di majidnya. Apabila hari demi hari bilangan manusia semakin bertambah, Nabi S.A.W mula menggunakan mimbar. Nabi S.A.W. pun datang ke masjidnya untuk berkhutbah, pada ketika Rasulullah S.A.W. telah melepasi pelepah tamar tersebut di mana jarak Baginda S.A.W. dengan pelepah itu hanya 8 langkah. Rasulullah S.A.W. melangkah menaiki mimbar dan memulakan khutbah. Semasa khutbah, para sahabat telah mendengar suara tangisan yang amat sedih dan menyayat hati. Lama kelamaan suara tersebut semakin nyaring kedengaran. Para sahabat mula berpaling ke kiri dan kanan mencari-cari dari mana datangnya suara tangisan tersebut. Akhirnya mereka dapati bahawa suara itu datang dari arah pelepah tamar itu. Apabila benda yang tidak bernyawa ini telah dapati Rasulullah berkomunikasi dengannya yang mengandungi makna kehidupan yang dibawa oleh Baginda Nabi S.A.W., maka ia telah menggerakkan makna kehidupan pada pelepah tamar itu tadi. Oleh itu, ia amat menyukai untuk menggambarkan rasa cintanya kepada Baginda Nabi S.A.W. Hadith ini bertaraf mutawatir mengikut kesahihannya. Para sahabat berkata: “Apabila pelepah tamar itu mula merengek seperti kehilangan anak, ia menyebabkan kami hampir tidak mendengar suara Rasulullah”. Lantas Rasulullah S.A.W. pun turun dari mimbar, sekali lagi Baginda telah mengajarkan kami suatu pengajaran bahawa Nabi datang dengan mempunyai pengetahuan tentang rahsia sebuah kehidupan untuk memujuk pelepah tamar itu. Rasulullah meletakkan tangannya ke atas pelepah tamar lalu memujuknya seperti seorang ibu yang memujuk anaknya yang menangis sehingga pelepah tersebut terus diam. Lalu Rasulullah S.A.W. memberi pilihan kepadanya sama ada kekal hidup sehingga hari kiamat dan kembali kepada Rasulullah S.A.W. seperti sediakala atau berada bersama Rasulullah S.A.W. di dalam syurga. Lalu ia memilih untuk bersama Rasulullah S.A.W. di dalam syurga.
Rasulullah S.A.W. apabila datang kepada haiwan, Rasulullah mengajarkan kepada kita bagaimana cara untuk bermuamalah dengan haiwan dengan mempunyai nilai ubudiyyah kepada ALLAH. Ketika Rasulullah S.A.W. keluar ke medan jihad Badar, berlaku secara berulang kali di mana Rasulullah turun dari haiwan tunggangan untuk haiwan tersebut dapat berehat. Sedemikianlah baginda lakukan kepada tunggangannya. Rasulullah S.A.W.telah mengajarkan kepada kita cara bermuamalah kepada yang telah berkhidmat untuk kita walaupun ia hanya dari seekor haiwan. Muamalah ini mestilah mempunyai nilai rasa menghargai bahawa yang dihadapanku ini mempunyai hak yang sewajarnya untuk dipelihara.
Hasil dari sebuah kecintaan ini juga dapat dilihat apabila seekor haiwan yang berada di kemuncak kemarahan sekalipun mahu merasai hubunganya dengan orang yang dapat berkomunikasi dengannya di mana orang itu memhami rahsia sebuah kehidupan. Terdapat sebuah kisah di mana seekor unta. Orang arab tahu bahawa apabila ada unta yang boleh membunuh, mereka pasti akan mengikatnya. Rasulullah S.A.W. melalui kawasan tersebut dan bertanya: “Apa yang berlaku kepada kamu?”, mereka menjawab “Unta ini bahaya”, Rasulullah S.A.W. bersabda: “Bukakanlah ikatan itu”, mereka menjawab: “Kami takut ada yang tidak baik menimpamu disebabkan olehnya”, Rasulullah bersabda: “Bukanlah ikatan itu”, mereka pun membuka ikatan tersebut. Kemudian Rasulullah S.A.W. mendekati unta itu lantas ia pun diam sebagaimana diriwayatkan dalam hadith yang sahih, unta itu datang kepada Rasulullah S.A.W. dalam keadaan tunduk. Seorang perawi meriwayatkan: “Unta itu mendekati Rasulullah dan menciumnya”. Kemudian ia mengangkat kepalanya. Rasulullah S.A.W. mendekatinya dan berbicara dengannya, lantas unta itu menangkat kepalanya dan mendekati Rasulullah sekali lagi. Ia membisikkan sesuatu ke telinga Rasulullah S.A.W., seterusnya Rasulullah S.A.W. kembali berkata-kata kepadanya dan ia pun melakukan perkara yang sama. Setelah itu, Rasulullah S.A.W. memandang ke arah tuan punya unta dan berkata: “Sesungguhnya unta ini telah mengadu kepadaku, bahawa ia diberikan kerja-kerja yang membebankannya dan kamu juga tidak memberi makan yang baik kepadanya”. Mereka menjawab: “YaRasulullah, demi keranamu ia akan diberi dengan sebaik-baik makanan untuk unta dan kami tidak akan membebankannya selama-lamanya”. Unta ini berbicara begitu kerana Baginda Rasulullah datang kepadanya dengan membawa makna dalam kehidupan haiwannya. “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.
Begitulah akhlak Baginda Rasulullah S.A.W. bersama unta dan benda-benda yang tidak bernyawa. Maka bagaimana pula muamalah Rasulullah dengan manusia? Dimana Rasulullah S.A.W. ditugaskan mengangkat martabat manusia serta mengembalikan manusia kepada sifat kemanusiaannya. Pada hari ini kita dapat belajar satu pengajaran iaitu kita hidup sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W. mengetahui bahawa berbicara dengan alam yang mengelilingi kita pada ketika ini dengan konsep kenabian yang mulia akan menimbulkan keadaan yang lain kepada alam ini serta menjadikan alam ini merasai rahsia sebuah kehidupan yang di anugerahkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. untuk memahaminya. Ini merupakan penganugerahan cinta yang diadakan bertujuan untuk menggerakkan dalaman kita sebelum orang lain untuk menyedarkan kita sebagai kelompok muslim tentang wujudnya hubungan dengan Kekasih kita, Baginda Rasulullah S.A.W. Ia membuatkan kita berlumba-lumba dalam perlumbaan. Disana kita mampu untuk berbicara dengan alam ini dari mula bahawa Rasulullah S.A.W. juga diutuskan untuk mengembalikan rasa hormat manusia kepada dirinya sendiri sebagai manusia dan hormat kepada alam yang berada di sekelilingnya sehingga alam ini juga kembali hormat kepada manusia semula.
Jika kita kembali kepada konsep komunikasi dengan yang berada di sekeliling kita dan yang sebaliknya dengan berpandukan ajaran Rasulullah S.A.W., banyak perkara akan berubah kepada suatu keadaan yang lebih baik kerana kita adalah umat Nabi Muhammad S.A.W.
Aku mohon kepada ALLAH S.W.T. agar hidupkan kita dengan makna ini. YaALLAH, hidupkanlah makna hubungan dengan Nabi S.A.W. di dalam hati dan jiwa kami. Gerakkanlah dalam diri kami dengan semangat ini dan satukanlah kami dengan orang yang Engkau cintai dan redhai, dengan RahmatMu wahai Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang dan segala puji bagi ALLAH Tuhan sekalian alam.
..................
By: Al-Habib `Ali Zainal `Abidin Al-Jifri حفظه الله تعالى
posted by: alfaqir hamba yang Esa

No comments:

Post a Comment