Pages

Friday 18 May 2012

Mengenal Diri dan Merawatnya...


Setiap insan perlu mengawal nafsu dan mengenal segala sifatnya kerana nafsu itu sangat mengajak kearah melakukan kejahatan walaupun seseorang itu amat mengetahui dengan mendalam akan nafsunya sendiri.
Rasulullah S.A.W. sendiri mengawal dirinya daripada nafsu serta memohon perlindungan dari ALLAH S.W.T. daripada godaan nafsu. “YaALLAH, aku berlindung kepadaMu dari akhlak, amal dan hawa nafsu yang mungkar” (H.R. Turmidzi no. 3591, sahih). Pesanan Rasulullah S.A.W. kepada Muaz bin Jabal dengan katanya: “Wahai Muaz! Demi ALLAH! Sesungguhnya aku sangat menyayangimu. Maka janganlah kamu meninggalkan doa berikut setiap kali selepas solat iaitu: “YaALLAH, bantulah aku untuk mengingatiMu, bersyukur kepadaMu dan beribadah sebaik-baiknya untukMu”. (Pengijazahan hadith dari al-Habib Umar bin Hamid al-Jailani (Makkah). H.R. Imam Abu Daud, an-Nasa’ie, sahih oleh Ibnu Hibban dan al-Hakim)”. Sayyidina Ali bin Abi Thalib r.a. pernah berkata,: “Perumpamaan diriku dengan nafsuku ibarat gembala dengan kambing-kambingnya; apabila dikumpul setempat ada sahaja yang bertempiaran”.
Berkata Abu Bakar al-Warraq:
“Dalam semua hal, nafsu mahu menunjuk-nunjuk, dalam kebanyakan hal nafsu adalah munafiq, dalam sebahagian hal nafsu adalah musrik”. Nukilan dari Abu Bakar al-Wasithi: “Nafsu ibarat berhala; syirik jika memberi muka kepadanya tetapi sekiranya di perbetulkan dapat menjadi ibadah”. Berkata Ulama sufi: “Sifat nafsu menzahirkan kebaikan dan menyembunyikan keburukan, ibarat bara api; warnanya menarik hati, tetapi awas ia membakar. Nafsu kalau dihukum akan merayu mahu bertaubat dan merajuk. Tetapi apabila di biarkan ia menjadi degil, makin melampau dengan kemahuannya”. Begitu juga pepatah sufi mengatakan akan perihal nafsu,: “Nafsu ibarat air jernih yang tidak mengalir; apabila dikacau air itu, akan naiklah keladaknya dan terbitlah bau busuknya”.
Nafsu itu sifatnya sentiasa memusuhi dan sentiasa mahu menyaingi ALLAH S.W.T. Segala perintah ALLAH akan dilawan oleh nafsu sedang segala larangan ALLAH akan sentiasa diajak oleh nafsu untuk dilakukan. Ada pendapat yang mengatakan nafsu adalah perasaan yang halus, diletakkan didalam acuan hati, ia menjadi tempat untuk akhlak mahmudah sepertimana mata untuk melihat, telinga untuk mendengar dan hidung untuk menghidu. Ulama sufi berkata: "Roh adalah sumber kebaikan manakala nafsu sumber kejahatan. Akal sebagai tentera roh, keinginan-keinginan diri pula menjadi tentera nafsu. Sekiranya ALLAH memberi taufik maka roh akan mendapat kekuatan, sekiranya tewas maka yang kuat adalah nafsu. Hati pula akan tunduk kepada pihak yang menang."
Ketahuilah bahawa setiap perkara itu sama ada:
o   Jelas kebaikkannya maka wajib diteruskan,
o   Jelas keburukannya maka wajib dihindarkan,
o Samar-samar hakikatnya maka wajib ditinggalkan sehingga ilmu atau akal dapat menjelaskan baik dan buruknya.
Ulama sufi berkata, "Sekiranya kamu menjadi ragu terhadap dua pilihan; mana satukah yang terbaik, maka lihatlah kepada yang paling tidak sesuai dengan nafsumu, itulah yang mesti dipilih kerana itulah yang terbaik". Mujahadah yang tinggi diperlukan bagi membuang dan menghalang sifat-sifat mazmumah dalam diri. Dari itu, akan terbitlah akhlak-akhlak mahmudah dalam diri hasil daripada mujahadah yang tinggi dalam melawan nafsu. Segala apa yang dilakukan akan sentiasa bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh ALLAH kerana tunduknya nafsu itu kepada ALLAH S.W.T.

Wallahua’lam…
By al-faqir: hamba yang Esa
Sheikh Dr Mahmud Al-Maghlani - Adab Murid

No comments:

Post a Comment