Pages

Monday 14 May 2012

HIKMAH 1: Antara TANDA BERGANTUNG kepada AMAL


Dengan Nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi ALLAH, Selawat dan Salam keatas Penghulu kita Rasulullah (صلى الله عليه وآله وسلم), ahli keluarga Baginda dan para sahabat serta pembantunya.
Berkata Sayyidina Ibn Athaillah As-Sakandari:
مِنْ عَلَامَةِ اْلاءِ عْتِمَاد عَلَى اْلعَمَلِ نُقْصَانُ الرَّجَاءِ عِنْدَ وُجُوْدِ الزَّلَلِ
Diantara tanda seseorang bergantung kepada amalan ialah kurangnya Raja’ (mengharapkan kepada Rahmat ALLAH) ketika berlakunya kepincangan (maksiat).
Syarah Lafaz:
1.    Amal
Gerakan jasad atau hati yang mana jika ianya seiring dengan syariat dinamakan taat, jika sebaliknya dinamakan maksiat.
2.    Raja’
Mengharapkan kepada Rahmat ALLAH

Mafhum Hikmah:
            Awasilah diri daripada bergantung kepada Redha ALLAH S.W.T. dan balasan yang dijanjikanNya kepadamu tetapi bergantunglah kepada Rahmat ALLAH S.W.T. dan kemuliaanNya. Semakin besar harapan apabila dihiasi dengan amalan taat mampu mengelakkan diri daripada melakukan maksiat.
Seorang insan selayaknya berlepas diri dari amalannya dan jangan bergantung harap padanya dan hendaklah dia ketahui setiap apa yang ada di dalam alam ini adalah dari ALLAH. Ucapan yang dinukilkan oleh Ibn Athaillah As-Sakandari ini teramat halus. Bayangkan kamu memerhatikan diri kamu sendiri, jika kamu melakukan ketaatan, jangan terpedaya dengannya, jangan kamu bermegah dengan saudaramu yang lain, jangan memandang mereka dengan pandangan hina seperti mereka ahli maksiat dan mereka lebih rendah dari engkau. Ini takbur yang tidak diterima disisi ALLAH. Bayangkan jika engkau sentiasa menyebut Tuhanmu, oleh itu, setiap kali engkau terjebak melakukan maksiat, tidak kurang sedkit pun Raja’(mengharapkan kepada Rahmat ALLAH) engkau kepada Rahmat ALLAH subahanahu wa Ta`ala.
Bertaubat kepadanya dengan segera,
kerana ALLAH akan sentiasa di hati engkau dan kembali kepada ALLAH dengan segera dari segala kepincangan maksiat yang engkau lakukan. Kembali kepada ALLAH semula seolah-olah engkau tidak pernah melakukan maksiat. Kesan dari itu, engkau akan berada dalam keadaan tanpa dosa dalam tempoh masa yang panjang kerana engkau telah membersihkan catatan amalan engkau dan catitan amalan itu menjadi putih bersih. Ucapan Ibn Athaillah As-Sakandari ini secara realitinya ditujukan kepada manusia yang telah mencapai tahap suluk (perjalanan menuju Ilahi). Oleh kerana itu, permulaan hikam ini dimulakan dengan ucapan yang teguh. Rahsianya adalah untuk menarik manusia kepada ucapan ini. Ucapan ini mungkin tidak sesuai pada sesetengah pemuda yang baru memulakan suluk (perjalanan menuju Ilahi) dan tidak sesuai kepada orang yang masih baru kerana sepatutnya mereka merasa besar dengan dosa yang mereka lakukan dan menjauhkan diri darinya lebih-lebih lagi pada zaman fitnah yang kita hidup sekarang ini. Akan tetapi apabila Ibn Atha’ memulakan dengan sesuatu yang teguh, maka ia akan sentiasa teguh walaupun bersama mereka yang baru suluk (perjalanan menuju Ilahi) atau dipertengahan atau di pengakhiran jalan suluk (perjalanan menuju Ilahi). Jangan bergantung kepada amalan kamu sehinggalah ALLAH Redha kepada kamu...!!!
Beliau berkata, diantara tanda bersandarnya kepada amalan ialah kurangnya Raja’ (mengharapkan kepada Rahmat ALLAH) ketika adanya kepincangan (maksiat). “Bagaimana aku dapat mengetahui bahawa aku bergantung kepada amalan aku..??”. “Aku gembira apabila ada ketaatan…?? Aku hilang Raja’ apabila ada maksiat…??” Ibn Atha’ ingin mendidik kita, ketaatan ini adalah disebabkan Taufiq (ALLAH menjadikan perbuatan hambanya bertepatan dengan apa yang disukai dan dicintaiNya) ALLAH, dan maksiat ini adalah ketetapan ALLAH, dengan itu, semestinya kita beriman bahawa tiada daya upaya dan kekuatan kecuali dengan ALLAH.
Nabi S.A.W. bersabda: “Tiada daya upaya dan kekuatan kecuali dengan ALLAH (لَاحَوْلَ وَلَاقُوَّةَ ا.ِلَا بِالله) merupakan khazanah di antara khazanah Arasy”. Disini Ibn Atha’illah As-Sakandari menyebut hakikat yang Nabi S.A.W. sebutkan kepada kita iaitu: "Seseorang tidak akan dimasukkan ke syurga dengan sebab amalannya. Sahabat bertanya: "Walaupun kamu yaRasulullah?" Jawab Rasulullah S.A.W.: "Walaupun saya, melainkan dengan limpah Rahmat ALLAH S.W.T. kepadaku." (Riwayat al-Bukhari). Hadith ini menelaskan bahawa tiada seorang pun yang memasuki syurga disebabkan amalannya akan tetapi hakikatnya dengan kurniaan ALLAH S.W.T. oleh itu, jangan sama sekali kita bergantung kepada amalan..!!
Dari itu, jika ALLAH takdirkan kita melakukan maksiat, sepatutnya kita dalam keadaan benar-benar sedar (jangan alpa), dan kita perlu meninggalakan maksiat ini dan bertaubat dan cuba melupakannya setelah itu dan berazam tidak akan mengulanginya lagi. Dalam keadaan tidak alpa ini, kita tidak akan hilang perasaan Raja’ sama sekali kepada Pemilik kita walaupun banyaknya maksiat yang dilakukan, walaupun dicatitkan segala maksiat dunia ke atasnya. Sesungguhnya ALLAH menerima keislaman daripada orang musyrik dan menjadikan mereka generasi yang paling hebat yang pernah diketahui manusia. ALLAH menjadikan mereka pendakwah yang mendapat petunjuk dan memberi petunjuk sehingga hari kiamat. Sayyidina Umar, Sayyidina Uthman, termasuk segelintir musyrikin satu masa dahulu menyembah berhala. Akan tetapi mereka menjadi sebaik-baik manusia dan berada setinggi-tinggi kedudukan dikalangan manusia.
Jangan hilang perasaan Raja’ (mengharapkan kepada Rahmat ALLAH) kepada Tuhanmu sama sekali hanya disebabkan beberapa maksiat yang telah engkau lakukan. Jika begitu (hilangnya Raja’) maka engkau telah bergantung kepada amalan engkau, seolah-olah amalan engkau yang memasukkan engkau ke dalam syurga. Kurniaan ALLAH dan HidayahNya yang memasukkan engkau ke dalam syurga kerana “Tiada daya upaya dan kekuatan kecuali dengan ALLAH”.
            Hikmah ini menggesa kita untuk tidak bergantung sama sekali kepada amalan kita, kerana bergantung kepada amalan punca kepada musibah, antaranya takbur. Nabi S.A.W. bersabda: “Tidak masuk syurga sesiapa yang dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi daripada takbur”. Memetik kata-kata dari Syeikh Dr. `Ali Jum`ah, “Tahukah kamu bahawa sebiji sawi, 6000 daripadanya menyamai 1 gram...?? Tahukan kamu nilai gram ini benda terlalu ringan ada pada tukang emas..?? dalam bentuk habuk-habuk emas yang amat-amat kecil. Habuk-habuk emas ini bila ditimbang beratnya menyamai 6000 biji sawi, jika manusia terdapat dalam dirinya 1 daripada 6000 per 1 gram ini, daripada takbur, ini menghalangnya masuk ke dalam syurga. Bagaimana pula jika terpasak kukuh takbur itu di dalam hati?” Dengan itu, bergantung kepada amalan akan membawa kepada takbur selain membawa kepada hilangnya “Raja’”.
            Hikmah ini amat sukar untuk difahami dan mesti di ulang-ulang memahami dan mengamatinya untuk difahami secara khusus apabila kita di timpa dengan dosa kesalahan daripada segala dosa. Berlaku dosa semalam, wajib lah disertakan taubat pada hari ini yakni disegerakan taubatnya. Marilah kita memulakan lembaran baru kepada “Tidak berputus asa daripada Rahmat ALLAH”, dan kearah tidak hilang perasaan Raja’. Banyak manusia apabila berbicara dengannya dengan mengatakan “engkau sentiasa melakukan dosa”, dia menjawab: “Aku masuk neraka, masuk neraka”. Hal ini membuktikan orang itu telah hilang perasaan Raja’. Ini pada hakikatnya dia bergantung kepada amalan dan apabila tiada amalan soleh yang menjadi seseorang itu takbur dan bersama takbur ini, hilangnya keinginan bertaubat. Dari itu, hikmah ini membawa kita kepada sentiasa dan selamanya bertaubat kepada ALLAH.
            Firman ALLAH S.W.T: “Masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Naml: 32). Memetik kata-kata Fudhail Ibn Iyad, “Amalan adalah tidak di ambil kira dan diterima kecuali dengan ikhlas dan betul”. Terimanya amalan tersebut adalah semata-mata kurnia daripada ALLAH. Dari itu, maksud ayat “disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan” adalah dengan kurniaan ALLAH yang mana ALLAH yang memberikan taufiq kepada kita untuk melakukan amal tersebut. Maka, dengan taufiq dari ALLAH, kita tidak akan takbur kepada sesiapapun. Berkata Sahibul Jauharah Tauhid: “ALLAH memberi pahala kepada kita semata-mata kerana Rahmat dan limpah KurniaNya, Sebaliknya jika diseksa semata-mata kerana KeadilanNya.”
            Renungilah hikmah ini dengan mata hatimu, maafkanku diatas kefaqiran ilmuku, “Aku tinggalkan kamu bersama ALLAH, Bersama dengan nur-nur dari hikam Ibn Atha’.” Moga ALLAH memberi kefahaman yang jelas kepada kita dalam jalan mendekatkan diri kepadaNya. Selawat dan salam, diawal, ditengah, dan diakhir, keatas penghuluku, nabiku, kekasihku, pemberi syafaatku, penyimpanku dan tuan ku, yang amat dirindui, yang amat dicintai, Baginda Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga Baginda dan para sahabat Baginda.
Wallahua’lam…..
By al-faqir: hamba yang Esa

No comments:

Post a Comment