Pages

Saturday 21 April 2012

Muhasabah dari Musibah Bencana

Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala Pujian bagi ALLAH, Tuhan sekalian alam, pujian bagi ALLAH yang menyeru kita ke ruangan limpahNya, yang mendorong kita dengan ihsanNya, kemurahanNya serta anugerahNya, puji-pujian yang menyempurnakan dan menambahkan nikmat-nikmatnya, kepada Engkaulah puji-pujian yang selayaknya dengan keagungan dan kebesaran kekuasaanMu,  selawat dan salam keatas junjungan kita, Saidina waMaulana Muhammad Rasulillah  S.A.W., dan para junjungan. ALLAH humma Wahid, Tuhan yang telah menjadikan selawat keatas Saidina waMaulana Muhammad S.A.W. sebagai amalan yang paling mentaqarrubkan diri kepadaNya. Maka sesungguhnya hamba bertaqarrub kepadaMu dengan seluruh selawat yang telah diselawatkan keatas Baginda S.A.W. sejak mula ciptaan, sehingga segala kesempurnaan yang tiada penghujungnya. ALLAHhumma kurniakanlah selawat keatas junjungan kami Saidina waMaulana Muhammad S.A.W. dan keatas ahli keluarga dan para sahabat Baginda sekalian. Selawat yang membuka bagi kami pintu-pintu keredhaan dan kemudahan. Dengannya Engkau menutup dari kami segala pintu-pintu kejahatan dan kepayahan. Dengannya Engkau menjadikan kepada kami sebagai pembela dan penolong. Engkaulah yaALLAH, pembela kami, Engkaulah Tuhan kami, Engkaulah sebaik-baik Tuhan, dan sebaik-baik pembela.
Manusia diuji dengan berbagai musibah dari bencana alam oleh ALLAH S.W.T. seperti gempa bumi, banjir, tanah runtuh, tsunami dan sebagainya. Namun disebalik terjadinya semua ini, manusia harus sedar akan hikmah disebalik terjadinya musibah ini kerana ALLAH secara jelas tidak akan berlaku zalim dan menginaya terhadap hambanya dengan sifat `Adilnya ALLAH.
Semua musibah yang berlaku ini akan menjadi wasilah bagi seseorang hamba yang beriman dengan sepenuh hati kepada ALLAH S.W.T. untuk semakin hampir kepadaNya, sedang yang lemah imannya akan semakin lunturlah iman mereka (moga ALLAH menjauhkan kita dari ini). Manusia perlu sedar akan sebab terjadinya musibah-musibah ini adalah kerana kerosakan yang dilakukan diatas muka bumi ini sebagaimana musibah serta azab ALLAH melalui bencana alam yang telah ditimpa ALLAH kepada kaum-kaum yang terdahulu seperti kaum `Ad dan Thamud. Firman ALLAH S.W.T.:
“Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.”
(surah Al-Ankabut, 40).
          Melalaui ayat ini, jelas menyatakan bahawa segala yang berlaku adalah disebabkan dosa yang dilakukan oleh manusia. ALLAH juga menegaskan bahawa ALLAH sekali-kali tidak menginaya manusia kerana bencana yang ditimpa adalah disebabkan oleh perbuatan manusia itu sendiri. Dari ayat ini juga, dapat diambil beberapa pengajaran iaitu:
1.    Manusia seharusnya menyedari akan dosa yang telah dilakukan dan bertaubat kepada ALLAH sebelum ALLAH menimpakan azabNya.
2.    Manusia juga harus sedar akan hikmah kepda terjadinya musibah bencana itu disebabkan dosa yang telah dilakukan.
3.    Dosa yang dilakukan akan mengakibatkan kemurkaan ALLAH dan turunnya azab serta bencana dari ALLAH kepada seluruh masyarakat dan umat manusia.
4.    Sesungguhnya ALLAH itu tidak akan berlaku zalim atau menginaya hambaNya.
            Manusia juga seharusnya sedar akan kepentingan dalam menjaga ekosistem bumi agar ianya tidak mendatangkan mudharat kepada manusia di hari depan kelak. Seorang muslim harus sedar akan tanggungjawab dalam memakmurkan bumi ALLAH ini dengan perkara-perkara yang sihat selari dengan objektif penciptaan manusia di atas muka bumi ini iaitu memakmurkan bumi ini. ALLAH S.W.T. telah berfirman:
“Sesungguhnya Aku (ALLAH), hendak menjadikan khalifah di muka bumi"
(surah Al-Baqarah, 30)
Dengan itu, seharusnya sebagai seorang muslim untuk bertanggungjawab diatas amanah ALLAH kepadanya dalam memakmurkan bumi ALLAH ini dan menjaga muamalahnya dengan ALLAH, manusia-manusia lainnya dan juga muamalahnya dengan alam ini.
            ALLAH S.W.T. juga telah mengingatkan setiap manusia akan sebab terjadinya setiap musibah atau bencana ini melalu firmanNya:
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
(surah Ar-Rum, 41)
Melalui firman ALLAH ini, ALLAH menyatakan sebab terjadinya kerosakan dan bencana di atas muka bumi ini adalah disebabkan perlakuan manusia. Jelas kepada kita melalui bencana-bencana yang terjadi pada hari ini seperti tanah runtuh dan gempa bumi adalah disebabkan perlakuan manusia yang suka menarah bukit-bukit bagi tujuan pembangunan. Hal ini akan mengakibatkan hilangnya keseimbangan kepada tanah atau bumi secara umumnya. ALLAH telah pun menyatakan akan kepentingan bukit mahupun gunung-ganang kepada bumi melalui firmanNya:
“Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan?. Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?”
(surah An-Naba, 6-7)
Di dalam tafsir ibn Kathir menjelaskan bahawa bumi ini adalah hamparan bagi semua makluk, dan dibentangkan kepada setiap makhluk itu sehingga bumi ini menjadi tenang, diam dan aman. Kemudian ALLAH menyatakan akan ciptaanNya iaitu gunung-gunung adalah sebagai pasak yang di pancangkan dan ditancapkan serta ditetapkan sehingga menjadi diam  dan tidak menggoncangkan para penghuni yang ada diatasnya. SubahanALLAH, lihat, renung dan fikirlah wahai manusia, ALLAH telah pun memberitahu akan kepentingan bukit mahupun gunung-ganang, maka apabila apabila ditarah semuanya itu, sudah pasti lawan kepada ayat “diam dan tidak menggocangkan penghuninya” itu adalah perkataan gempa bumi. Inilah yang dimaksudkan dengan balasan kepada perbuatan buruk manusia itu sendiri. Melalui ayat 41, surah Ar-Rum, dapat diambil beberapa pengajaran darinya iaitu:
1.    Manusia seharusnya berfikir akan akibatnya terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara.
2.    Manusia seharusnya sedar akan tanggungjawab yang dipikul sebagai khalifah di atas muka bumi ini dalam menjaga muamalahnya dengan ALLAH, sesama manusia mahupun dengan alam sekitar.
3.    Bencana yang menimpa adalah bukti kasih sayang ALLAH supaya manusia kembali insaf akan kesilapan yang dilakukan.
Oleh itu, sebagai seorang muslim, kita seharusnya menyedari akan kehendak ALLAH sebagai pencipta kita dan menyedari hakikat kita sebagai seorang hamba. Dengan ini, kita akan sentiasa dirahmati dan dikasihi ALLAH dan sentiasa akan kembali kepada ALLAH tatkala ditimpa musibah kerana menyedari ALLAH sebagai Pencipta dan kelemahan kita sebagai makluk ciptaanNya. Moga ALLAH memimpin kita kearah yang diredhaiNya dan menjadikan kita tergolong dari kalangan hamba-hambanya yang bertaqwa serta ditempatkan bersama orang-orang yang soleh, para sahabat dan Rasulullah di akhirat kelak. InsyaALLAH.
Semoga ALLAH menjadikan kita daripada kalangan yang mendengar nasihat dan mengikuti perkara baik. “Ya ALLAH !! Tunjukkanlah kepada kami perkara yang baik dan jadikan kami yang mengikutinya”. Maha Suci Engkau Tuhan Yang Maha Agung dengan apa yang disifatkan. Selawat dan salam, diawal, ditengah, dan diakhir, keatas penghuluku, nabiku, kekasihku, pemberi syafaatku, penyimpanku dan tuanku, yang amat dirindui, yang amat dicintai, Baginda Nabi Muhammad S.A.W., ahli keluarga Baginda dan para sahabat Baginda. Serta salam keatas para Rasul yang diutuskan dan pujian kepada ALLAH Tuhan Sekalian Alam.
Wallahua’lam.....
By: hamba yang Esa

No comments:

Post a Comment