Fitnah
Petunjuk Istikharah
Ustaz,
saya dan tunang saya sudah hampir ke tarikh pernikahan kami. Tetapi tunang saya
telah secara mendadak memutuskan pertunangan kami. Beliau bermimpi melihat
seorang perempuan lain dan setelah beristikharah, beliau yakin perempuan itu
adalah pilihan sebenarnya kerana ia muncul dengan petunjuk Allah. Bagaimana
pandangan ustaz? Saya dan keluarga saya serta keluarga tunang saya sangat
terkilan. Apakah benar saya sudah dikeluarkan daripada petunjuk Allah? Di mana
silap saya, ustaz?
Sepucuk
emel dihantar kepada saya. Beristighfar dan mengurut dada. Percaya atau tidak,
gejala ini semakin menjadi-jadi. Malah di kalangan pelajar universiti,
Istikharah semakin popular di dalam trend yang tersendiri. Ia diamalkan bagi memaksa
Allah membuat pilihan untuk mereka.
Berbekalkan kejadian persekitaran atau mimpi yang disangka petunjuk,
kadang-kadang pilihan Allah itu adalah tunang orang, suami orang, malah ada
juga isteri orang. Bertindak atas nama petunjuk Allah, tercetus permusuhan
sesama anak Adam. Apakah Allah, atau Syaitan yang memberikan petunjuk penuh
mudarat dan zalim itu?
MEMBELAKANGKAN
ILMU
Penyakit
besar yang melanda anak-anak muda terbabit ialah beribadah tanpa ilmu. Mereka
melaksanakan Solat Istikharah berdasarkan saranan rakan-rakan yang juga melakukannya
atas saranan kawan-kawan yang lain. Berapa ramaikah yang membuka kitab Fiqh
atau belajar mengenai Solat itu dan ibadah yang lain melalui para ustaz dan
alim ulama? Keadaan ini menjadi lebih bermasalah apabila ada pula agamawan yang
mengesyorkan panduan-panduan yang tidak berdasarkan keterangan al-Quran dan
al-Sunnah malah diajar pula kaifiyat yang sangat membuka ruang manipulasi
Syaitan dalam mengaburi pertimbangan anak Adam. Mengira huruf tertentu di dalam
Surah, menyelak secara rawak mushaf dan mencari petunjuk di muka surat yang
terbuka, juga paling banyak meniti di minda ialah menanti mimpi yang menjawab
permintaan. Ia mengingatkan saya kepada pandangan Sheikh Saleem bin Eid
al-Hilali di dalam kitab Bahjah al-Nadzireen syarah kepada Riyadh al-Sholiheen:
Ada
sesetengah orang berpendapat, sesudah mengerjakan solat serta Doa Istikharah,
akan muncullah nanti petunjuk dalam mimpinya, maka dia akan memilih sebagaimana
yang ditunjukkan oleh mimpinya itu Justeru ada sesetengah orang berwudhu dan
kemudian melakukan Solat serta Doa Istikharah dan terus tidur (dengan
meletakkan harapan petunjuk datang melalui mimpi), malah ada juga mereka yang
sengaja memakai pakaian berwarna putih kerana mengharapkan mimpi yang baik.
Semua ini hakikatnya adalah prasangka manusia yang tidak berasas
Menjadi
satu keperluan yang sangat penting untuk kita kembali kepada maksud asal Solat
Istikharah. Istikharah itu bermaksud meminta bantuan daripada Allah untuk
seseorang itu memilih di antara beberapa kemungkinan yang diharuskan oleh Syara’.
Ada pun pilihan yang berada antara manfaat dan mudarat, apatah lagi Halal dan
Haram hatta Makruh, maka tidak harus untuk Istikharah dilakukan kerana tindakan
yang sepatutnya diambil sangat jelas iaitu pada meninggal dan menghindarkan
pilihan yang tidak baik itu. Sabda Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam:
Hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di
dalam Sahihnya dengan sanadnya daripada Jabir radhiyallaahu anhuma, beliau
berkata: Daripada Nabi sallallaahu alayhi wa sallam Baginda bersabda: "Apabila
sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia Rukuk
dengan dua Rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada Solat yang
Fardhu (yakni mengerjakan Solat dua Rakaat dengan niat Istikharah). Kemudian hendaklah
dia berdoa: Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga
memohon ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha
Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk
menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah
yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi. Ya Allah, jika pada
ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini harus
disebut hajat tersebut atau cukup sekadar meniatkannya kerana Allah Maha
Mengetahui akan hajat itu adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan
kesudahan urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan
mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini. Dan
andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama,
kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka hindarkanlah ia
daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan
jadikanlah aku redha dengannya."
ANTARA
ISTIKHARAH DAN ISTISYARAH
Istikharah
itu mempunyai gandingan yang memberi tambahan kemudahan. Ia dikenali sebagai
Istisyarah. Istisyarah ini bermaksud meminta pendapat mereka yang boleh
dipercayai untuk membantu seseorang itu membuat keputusan. Sheikh al-Islam Ibn
Taimiyyah rahimahullah pernah berkata:
Tidak
akan menyesal seorang yang beristikharah kepada al-Khaliq (Allah) serta
bermesyuarat dengan para Makhluq, serta tetap pendirian dalam keputusannya.
Biar
pun para Ulama berselisih pendapat tentang mana yang patut didahulukan antara
Istisyarah dan Istikharah, ia tidak menjejaskan bahagian yang perlu dimainkan
oleh seorang manusia dalam proses dirinya membuat keputusan. Sebelum sampai
kepada pertimbangan memilih antara dua kebaikan, seseorang yang berhajat itu
mestilah mempunyai asas dalam penilaiannya agar pilihan yang ada di depan
matanya adalah antara dua perkara yang harus serta sama baik. Sudah tentu, hal
ini juga memerlukan dirinya untuk mengambil bahagian dengan berusaha. Setelah
beristikharah, namun hati masih berada di dalam ketidak pastian, harus baginya
untuk mengulangi Solat dan Doa Istikharah itu hingga beroleh ketetapan hati
dalam membuat keputusan. Di samping itu juga, dia dianjurkan beristisyarah,
yakni meminta pendapat individu-individu yang dipercayai integriti dan kemahirannya
dalam urusan tersebut, agar keputusan boleh dibuat. Titik pentingnya ialah,
keputusan hendaklah kita yang berhajat itu melakukannya dan bukan menyerahkan
kepada Allah untuk membuat keputusan itu dan menampakkanya melalui
petanda-petanda yang dicari. Di sinilah ruang untuk fitnah berlaku apabila
dalam suasana hidup kita yang dibelenggu oleh pelbagai maksiat serta Iman yang
teruji, kita membuka suatu ruang kosong untuk dicelah oleh tipu helah Syaitan.
Tambahan pula dalam keadaan jiwa anak muda yang selalu lemah untuk menolak
kehendak diri dan sering terdorong mengikut kemahuan. Jiwanya tidak bulat
meminta kepada Allah, sebaliknya bermain helah untuk mengharapkan Allah
menyokong kecenderungan dirinya sendiri.
Berhentilah
mencari mimpi. Berhentilah menunggu petanda. Beristikharah memanggil
kebersamaan Allah dalam keputusan yang kita buat. Kita yang membuat keputusan
itu, dengan keyakinan hasil Istikharah, bahawa keputusan yang kita buat itu
adalah dengan kebersamaan Allah. Jika di kemudian hari, pada pilihan yang
dibuat itu, datang mehnah yang menguji kehidupan, kita tidak akan berfikiran
negatif malah berusaha untuk mencari sisi-sisi positif pada apa yang berlaku
kerana keputusan yang dibuat dahulu itu adalah dengan kelengkapan Syariatullah
(Istikharah) serta Sunnatullah (Istisyarah Ikhtiar Usaha). Pertimbangkanlah
seandainya pilihan yang disangkakan petunjuk daripada Allah itu mencetuskan
mudarat, permusuhan, meninggalkan yang afdhal dan mengambil yang mafdhul
berhati-hatilah. Ia mungkin mainan Syaitan.
Sebahagian
(daripada umat manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan diberi
taufiq untuk beriman dan beramal soleh); dan sebahagian lagi (yang ingkar)
berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana
sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin
(yang ditaati) selain Allah. serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada
di dalam petunjuk hidayah [Al-Aa'raaf 7: 30]
KESIMPULAN
1.
Hindarkan diri daripada kesukaran menetapkan pendirian dalam kehidupan. Was-was
adalah permainan Syaitan dan penyakit jiwa yang mengundang bahaya.
2. Dalam hal-hal yang tiada keraguan dalam
membuat pilihan keputusan, ia tidak berhajatkan kepada Istikharah.
3.
Ketika berdepan dengan pilihan yang sukar ditentukan, gunakan pertimbangan diri
untuk melihat buruk baiknya.
4.
Jika jelas mudarat atau sudah ditentukan Haram hukumnya, maka tidak harus
beristikharah.
5.
Pada perkara yang sukar untuk dibuat keputusan, beristikharahlah kepada Allah
mengikut kaifiyat Solat Istikharah dan Doa yang Ma’thur daripada Rasulullah
sallallaahu alayhi wa sallam.
6.
Istikharah boleh diulang beberapa kali hingga beroleh ketetapan hati untuk
membuat keputusan.
7.
Di samping itu juga beristisyarahlah dengan meminta pandangan pihak yang boleh dipercayai
kewibawaannya.
8.
Petunjuk daripada Allah ialah kemampuan hati untuk tetap pendirian membuat
keputusan.
9.
Hindarilah perbuatan menunggu mimpi atau petanda berbentuk isyarat kerana ia
sangat terbuka kepada belitan Iblis.
10.
Jauhi Bidah dan Syirik.
11.
Setelah keputusan dibuat, bertawakkallah kepada Allah dan tenang dengan
keputusan itu.
12.
Seandainya timbul cabaran atau muncul sisi kekurangan pada pilihan yang
dipilih, tiada fikiran negatif muncul kerana yakin adanya hikmah dan kebaikan
daripada Allah.
13.
Istikharah terbuka kepada apa sahaja urusan kehidupan yang berada di dalam
ruang lingkup keharusan Syara dan salah jika hanya dilihat sebagai mekanisme
jodoh.
14.
Rujuklah kitab-kitab Fiqh serta panduan Sunnah dalam urusan Istikharah serta ibadah-ibadah
yang lain.
15.
Melakukan ibadah dengan hanya berpandukan hearsay adalah pintu kebinasaan dalam
beragama.
ALLAHuRabbi...
;(
Credit: ABU
SAIF @ www.saifulislam.com / http://komuniti.iluvislam.com/topic/22517-kefahaman-mengenai-istikharah/
syukran..sangat2 bermanfaat..barakallahufik..
ReplyDelete